Tuesday, June 2, 2009

Belajarlah Daripada Sejarah

Setelah 52 tahun mencapai kemerdekaan
Setelah lebih lima dekad Melayu memerintah
Merancang dan melaksanakan pembaharuan
Mengapa katanya Melayu masih ketinggalan?
Menjadi 'penumpang' dengan gelar ketuanan
Menjadi 'pengemis' dalam watan yang kaya-raya
Menjadi 'miskin' di kepuk hasil bumi sendiri
Menjadi 'melukut' dalam gantang peribumi
Ah, melayukah Melayu ini?
Yang melarat di pertiwi sendiri?

Tahap ekonomi masih jauh dari sasaran DEB
Takah 30% kabur,langkah mencapainya sering terbentur
Usahawan kecil lemas dalam bantuan
Korporat 'instant' tenggelam dalam pinjaman
Lahir segelintir elit ekonomi yang lupa jati diri
Kaya-raya oleh label bumiputera, tapi sudahnya melupakan bangsa
Lahir pula usahawan marhaen yang miskin
Walau ilmu ditabur modal dihulur, tapi bisnes tak 'betul-betul'
'Berniaga buluh kasap'
Modal habis untung lesap!
Bankrap terlalu kerap-itu bukan lagi sesuatu yang hina
Tapi satu strategi penuh rencana

Dasar Pelajaran Kebangsaan masih impian
Apabila pelajar Melayu terus ketinggalan
Di IPTA atau di IPTS-dari segi kuantiti dan kualiti
Bilangan mahupun kelulusan, siswazah Melayu masih di pinggiran
Soal kuota tak terisi atau kantung ibu bapa yang tak berisi?
Bahana idealisme atau bahang hedonisme?
Kata seorang pengkaji itu gara-gara makanan Melayu tak bergizi
Kata media Melayu itu angkara sikap yang terlalu dimanjakan
Kata pemimpin itu akibat malas, lembab dan tak mahu bersaing
Ah, ketika begini teringat pula lagu lama-lagu Melayu
'Bangau oh Bangau...'
Apabila semua pihak saling menuding jari
Demi menyelamatkan maruah diri

Jenguk-jenguk pulalah ke Pusat Serenti
Tanyakan apa 'khabar' orang di sana
Atau singgah sahaja di lorong sempit di belakang Chow Kit
Sapalah remaja harapan bangsa yang telah menjadi mangsa
Jangan bicara soal patriotisme,
'Perut'isme pun mereka sudah lupa
Bukan ratus,bukan ribu,tetapi ratus ribu
Itu belum dikira bohjan dan bohsia
Belum dicampur pesalah juvana
Perogol,liwat dan penzina
Judi,arak,mencuri,merompak
Ah,tidak perlu data statistik dan angka-angka komputer
Cukup sahaja dengan mata dan telinga
Untuk memastikan siapakah mereka?
Ya, siapa lagi...Melayulah jua

Lebih kronik konflik politik
Antara parti dengan parti
Dan sesama sendiri dalam satu parti
Sama-sama nekad, sama-sama dahsyat
Musim pilihanraya-ajak kawan lawan parti lawan
Musim pemilihan-ajak kawan makan kawan
Riuh sejak lama tentang politik wang
Heboh sampai sekarang tak hilang-hilang
Bergaduh soal nyamuk membakar kelambu
Bertikai soal 'cara' mengorbankan 'hala'
Terlupa nilai adat dan tatasusila bangsa
Terpinggir prinsip akhlak dan hukum agama
Kuasa jadi 'komoditi' yang menjanjikan laba
Bukan lagi amanah yang berisikokan dosa
Ah, semakin ramai Melayu yang ingin memimpin
Sedangkan ada yang tak layak...walaupun sekadar untuk dipimpin
Tak mahu jadi gerabak, bertolak-tolak nak jadi kepala
Akhirnya 'kereta api' bangsa terhenti...
Perjalanan bangsa pun tergendala!

Kembalilah ke sejarah, belajarlah daripada Rasulullah
Bagaimana Baginda membina satu bangsa bermaruah
Sedangkan awalnya terkenal barbar dan jahiliah
Lihat apa yang disuburkannya di peringkat Makkah
Lihat apa yang digemburkannya di peringkat Madaniah
Bukankah apa yang dihadapinya penuh persamaan
Dengan nasib kita yang sering ditimpa kehinaan
Justeru Arab jahiliah itu cermin sejarah
Bagi setiap bangsa yang bermasalah...
Belajarlah daripada jahiliah

Politiknya kacau-bilau-perang saudara tak pernah aman
Antara kabilah, bani dan suku sentiasa bercakaran
Sebab yang sedikit, perangnya berkait-kait
Ekonominya tenat-monopoli Yahudi mencengkam nadi
Telaga, pasar dan kebun dimonopoli
Terpaksa menjadi 'hamba' di bumi sendiri
Sosialnya parah-zina, arak, tenung nasib, bunuh bayi
Bangsa hilang maruah, umat hilang arah
Rom dan Parsi pun tak sudi menjajah!
Itulah gambaran bangsa yang sangat tenat
Gersang, kontang, lemah, kalah
Menunggu saat dicampakkan ke longkang sejarah!

Tiba-tiba datang Rasulullah membedah masalah
'First thing first'-operasi di dalam hati, diselesaikannya 'soal hati'
Disingkirkannya syirik dicantasnya berhala materialistik
Diperkenalkannya Allah-agar cinta dan takut hanya pada-NYA
Dikenalkannya akhirat-agar ghairah syurga dan gundah neraka
Lihat alam, lihat semesta...bukti kewujudan-NYA
Jangan nafikan penciptaan kedua(akhirat)...
Ketika penciptaan pertama(dunia) sudah di depan mata!

Walaupun ekonomi, politik, sosial jahiliah menghadapi masalah
Tetapi Rasulullah mendahulukan aqidah
Diperhebatkannya dakwah, dipertingkatkan tarbiyah
Disemai iman, dituainya persaudaraan
Justeru ekonomi sakit sebab iman sedikit
Justeru politik tersasar apabila ukhuwwah melonggar
Justeru sosial hancur akibat iman dan ukhuwwah meluntur
Bukan menafikan keperluan ilmu, kepakaran teknologi
Tapi jangan sekali-kali diremehkan soal hati
Kerna ini bukan hanya soal pengetahuan
Tapi sebenarnya soal kemahuan
Bukan masalah kurang harta tapi masalah 'miskin' jiwa
Bukan kekuatan luaran tapi kekuatan dalaman
Kerana bangsa tanpa kekuatan iman...
Bagai kapal hilang pedoman

Indahnya bila iman menjadi teras kepakaran dan pengetahuan
Gagahnya bila iman menjadi asas pembangunan dan kemajuan
Itulah langkah susulan selepas iman di Makkah
Rasulullah membina ekonomi, sosial dan siasah...
Dengan roh iman di Madinah
Bukan seperti Arab Jahiliah...
Yang memisahkan kehidupan daripada aqidah
Belajar daripada sejarah menangnya Rasulullah
Belajarlah daripada sejarah kalahnya Arab jahiliah!

(Nukilan di atas hanyalah cebisan daripada rasa hati, emosi dan sanubari...tiada kaitan dengan perebutan jawatan MB Perak, mogok lapar, pilihanraya Penanti baru-baru ini waima Muktamar Agung PAS dan pilihanraya Manik Urai yang akan berlangsung)

5 comments:

  1. nih konfem ko wat sendiri nih? kalau ko wat sendiri ko mmg genius bahasa bro! tahniah2!

    ReplyDelete
  2. Ko memang ade bakat tulis sajakla Lan..Aku igtkan sajak aritu one hit wonder jer..Apekata ko anta kat sokkaba?Kalau published lagi ramai org bleh baca.Aku ade nama pena smart pny utk ko..Zharif Manja.Amacam?hahaha..

    ReplyDelete
  3. Hahahaha...baek aku letak name Stevens Nasiru...xpon Vaclav Vasek...a tribute to ex housem8...hahaha...apecte diorg skang aa?

    ReplyDelete